Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK telah menerima kunjungan daripada Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sempena Penaziran Akademik pada 2 September 2015 yang lalu bertempat di Bilik Mesyuarat Maahad Tahfiz AL-Quran MAIK. Penaziran tersebut diketuai oleh Al-Fadhil Ustaz Fakhrudin bin Abdullah dan Al-Fadhil Ustaz Mohd Lotfi bin Jamel iaitu pegawai dari Darul Quran JAKIM disertai oleh kakitangan dan pensyarah Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK. Penaziran berlangsung selama dua (2) jam iaitu bermula pada jam 10.00 pagi dan tamat pada 1.00 tengahari
Rabu, 12 Ogos 2015 - Majlis Perwakilan Pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK (MPP MTQMAIK) telah berjaya menganjurkan satu aktiviti riadah yang dinamakan Liga Majlis Perwakilan Pelajar. Aktiviti yang dijalankan ini diatur dan digerakkan di bawah Lajnah Sukan dan Rehlah.
Tujuan aktiviti ini dirancang adalah untuk menggalakkan semua pelajar melibatkan diri dalam bersukan disamping merapatkan dan membina ukhuwwah sesama pelajar. Dalam pada itu, ia merupakan lanjutan aktiviti sukan yang diteruskan hasil rancangan daripada MPP yang sebelumnya. Antara lain juga adalah untuk mencungkil bakat - bakat yang ada terutamanya di kalangan pelajar - pelajar semester baru
Sukan anjuran Majlis Perwakilan Pelajar ini tidak asing lagi di kalangan pelajar kerana ia sememangnya dianjurkan setiap tahun. Namun, anjuran pada tahun tampak sedikit berbeza apabila ia diatur dalam bentuk Liga berbanding tahun - tahun sebelumnya yang diadakan dalam bentuk kejohanan. Liga ini melibatkan 3 acara iaitu bola sepak, bola tampar, dan sepak takraw dengan persaingan antara 10 buah bilik kesemuanya.
Liga yang seumpama ini merupakan aktiviti yang julung-julung kali diadakan dengan dirasmikan oleh Encik Yasman Bin Hashim @ Yasin selaku Penolong Pegawai Tadbir Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK bertempat di padang Maahad Tahfiz. Beliaulah antara pegawai yang gigih dalam mendapat dan menyediakan kemudahan riadah kepada para pelajar, antaranya ialah 'court' bola tampar dan sepak takraw. Beliau juga mengharapkan dengan kemudahan yang disediakan ini, para pelajar dapat meluangkan masa dan mengeluarkan peluh dengan sebarang aktiviti di waktu petang.
Perasmian ini disempurnakan dengan lafaz Basmalah diikuti dengan gimik perasmian iaitu menurunkan tandatangan di atas sebiji bola. Kemudian, diadakan sesi bergambar yang melibatkan semua pelajar dengan pakaian jersi pasukan masing-masing.
Alhamdullilah, segala puji bagi Allah, tuhan sekelian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W kerana dengan izin serta petunjukNya, Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK yang ditubuhkan pada tahun 1993 dapat melahirkan ramai generasi Al-Quran serta mampu berbakti kepada masyarakat di seluruh Negara.
Syabas dan tahniah di atas kejayaan Maahad Tahfiz Al-Quran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan dengan kerjasama Unit Teknologi Maklumat dan Multimedia MAIK yang telah mula membangunkan portal rasminya pada tahun 2013, selaras dengan hasrat dan matlamat MAIK dan kepimpinan negara untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan dan maklumat melalui perkembangan dunia ICT yang begitu pesat tanpa had sempadan.
Segala informasi yang disediakan diharap dapat memudahkan orang ramai berurusan dengan Maahad Tahfiz khususnya dan MAIK amnya. Portal ini juga dapat membantu Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK dalam menjalankan fungsinya sebagai sebuah institusi pendidikan ilmu Al-Quran dan Qiraat bertaraf diploma yang telah mendapat pengiktirafan oleh pihak kerajaan Malaysia di bawah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia(JAKIM).
Akhir kata, selamat melayari Portal Rasmi Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK. Semoga dengan terbinanya portal ini, Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK dapat mengorak langkah dengan lebih efisyen serta mampu berjalan seiring dengan maahad-maahad tahfiz yang ada di seluruh Negara.
Sekian,terima kasih
YABrs Tuan Haji Zulkifle Bin Ab Rahman
Timbalan Yang Dipertua
Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan