9 Januari 2015 - Majlis Perwakilan Pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK telah menganjurkan Program Bicara Ilmu yang disampaikan oleh AF Ustaz Abdullah bin Mohd Zamri bertempat dibilik Mesyuarat MTQ MAIK. Program ini bermula pada jam 8.15 malam dengan bacaan surah Al-Fatihah oleh saudara Nik Abdul Muiz Bin Nik Mustapa selaku Timbalan Setiausaha MPP.
Tujuan program ini diadakan adalah untuk mendedahkan kepada pimpinan pelajar serta nuqaba’ mengenai kepentingan berdakwah dalam kehidupan seharian. Antara perkara yang penting ditekankan oleh penceramah adalah berkaitan kepentingan mahasiswa islam dalam mempersiap diri dengan ilmu dalam menyebarkan dakwah.
Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat MAIK telah melancarkan Tabung Derma Kilat Mangsa Banjir Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat MAIK pada 8 Januari 2014 (Khamis) dirasmikan oleh AF. Tuan pengetua MTQ semasa Thobor (Perhimpunan). Sasaran minimum kutipan ialah RM 1,500.00 dan sasaran telah melebihi target tersebut. Semua Pelajar dan Pegawai/Kakitangan telah menghulurkan derma tersebut.
6 Mei 2014 (Selasa) - Maahad Tahfiz Al-Quran Majlis Agama Islam Kelantan (MTQ MAIK) telah mengadakan Majlis Pendaftaran Pelajar Baru MTQ MAIK di Dewan Utama Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji Kota Bharu Kelantan. Seramai 40 orang pelajar baru telah terpilih untuk kemasukan sesi mei pada tahun ini daripada 120 penyertaan yang diterima. Pra acara dewan berlangsung pada jam 9.15 pagi dengan Taklimat Ringkas Pelajar Baru dan Ibu Bapa yang disampaikan oleh AF. Ustaz Haji Mohd Najmuddin bin Haji Ismail selaku Penyelaras Hal Ehwal Pelajar (HEP).
Majlis Perasmian Pendaftaran Pelajar Baru MTQ MAIK sesi 2014 / 2017 berlangsung pada jam 10.00 pagi yang mana dimulakan dengan aluanan bacaan ayat suci Al-Quran oleh adik Ahmad Sofwan bin Mohamad Nazir secara taranum berqiraat. Acara diteruskan dengan ucapan aluan AF. Mohd Sukeri Bin Mohd Nor, Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK. Beliau mengucapakan tahniah dan syabas kepada mereka yang terpilih pada tahun ini dan mengharapkan para pelajar untuk menggunakan kemudahan-kemudahan yang disediakan dengan sebaik mungkin bagi tujuan proses pengajian dan pembelajaran sepanjang berada di kampus ini.
Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian oleh AF. Ustaz Muhammad Hanapizi bin Abdullah , Imam Besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan mewakili Timbalan Yang Dipertua MAIK. Dalam ucapannya, beliau menyarankan supaya ibu bapa cakna dan mengambil tahu akan disiplin dan akademik anak-anak mereka bagi melahirkan graduan yang berkualiti dan berwibawa. Ia juga dapat mengeratkan hubungan diantara ibu bapa dengan pihak pentadbiran MTQ MAIK. Beliau turut mengharapkan supaya para pelajar bijak dalam membuat keputusan untuk menghadapi apa jua rintangan yang di hadapi semasa proses pembelajaran dan penghafazan. Para pelajar juga diminta untuk istiqamah dalam menghafaz Al-Quran bagi mengelakkan dari berlaku permasalahan tidak memenuhi muqarar (sukatan) setiap semester.
Acara diteruskan dengan bacaan ikrar pelajar baru secara beramai-ramai yang diketuai oleh adik Mohd Atqullah Bin Najimudin.Majlis diakhiri dengan bacaan doa yang disampaikan oleh YBRs. Encik Alwe bin Jusoh yang merupakan kakitangan MAIK.
20 Februari 2014 (Khamis) - Maahad Tahfiz Al-Quran Majlis Agama Islam & Adat Istiadat Melayu Kelantan (MTQ MAIK) telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran kali ke-5 bertempat di Masjid Al-Mawaddah Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra Panji, Kota Bharu, Kelantan. Seramai 25 orang pelajar semester 6 Program Diploma Tahfiz Al-Quran wal Qiraat yang berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk Al-Quran di Maahad ini telah mengikuti Majlis tersebut.
YB. SS Dato' Haji Mohamad Shukri Bin Mohamad, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK telah merasmikan majlis tersebut sebagai mewakili YAB. Dato' Hj Kamaruddin bin Mohd Zin, Timbalan Yang Dipertua MAIK.
Pada ucapan perasmian tersebut, YB. SS. Dato’ melahirkan rasa bangga dan mengucapkan tahniah kepada para pelajar, asatizah dan Ibu bapa kerana telah berjaya dalam melahirkan generasi yang merupakan aset penting bagi agama, bangsa dan negara yang akan memartabatkan kesucian ayat-ayat Al-Quran dimasa akan datang. YB. SS. Dato’ juga menyarankan supaya para pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK untuk berusaha memahami ayat-ayat yang terkandung di dalam Al-Quran dan memperkasakan budaya Ilmu serta menyebarkannya untuk kebaikan masyarakat. Para pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran MAIK diingatkan supaya sentiasa menjana akhlak dan disiplin yang baik bagi mencerminkan peribadi yang mulia.